Thursday, December 15, 2011

~Sepucuk Surat Ku Coretkan dari Sudut Hati ini II~



Assalamualaikum

In the name of Allah of The Most Gracious & The Most Merciful


Syukur padaMu bukan sekadar dengan ucapan Alhamdulillah, tetapi syukur padaMu dengan mata hati yang sentiasa beterusan mengingatiMU sehingga hujung nyawa~ InsyaALLAH


Lima bulan blog ini tidak diupdatekan, bukan kerana pemilik blog menyembunyikan diri, bukan juga kerana dek merajuk melayan perasaan, namun kekangan masa mencemburui diri ini untuk memberi sepenuh komitmen dan perhatian kepada pengajian di tahun akhir yang insyaALLAH akan melabuhkan tirai pada Januari tahun hadapan. Manakala minggu hadapan adalah minggu terakhir untuk sesi pengajian sem ini dan bermulalah study week, seterusnya demam final exam pun akan bermula :)


Hati ini memanggil-manggil untuk menyambung dan meneruskan lagi sambungan mengenai sepucuk surat yang pernah dicoretkan dari sudut hati ini
 ...Entah mengapa tajuk entri ini yang ingin disambung...^_^




Dan sambungannya...

klik play ok to the sweet song














Kehadapan bakal suamiku yang aku sendiri tidak tahu siapa kamu..mungkin masih dalam kesamaran lagi di ketika ini, masih menjadi tanda tanya di sudut hati..



Takdir langit menukar warna
Dari jingga ke kelam mata
Dalam jubah tanganku melata
Merunduk runtun terus meminta



Semalam, aku bersendiri. Aku sedang membasuh segala dosaku dengan bermunajat kepada-Nya. Kamu tahu, hanya kepada DIA tempat aku mengadu. Kepada DIA ku menghimpunkan segala kepedihan dan kegembiraan. Aku harap engkau juga begitu. Berdoa dan menyerahkan segala jiwa ragamu hanya kerana DIA. Sudah ku katakan sebelum ini, sangat sukar untuk aku bermunajat sendiri di sepertiga malam. Untuk melakukan tahajud cinta seminggu sekali pun payah, apatah lagi sehari-hari. Semoga kehadiranmu satu hari nanti, akan memberikan ku satu semangat baru. Semoga kehadiranmu satu hari nanti yang sudah sah menyandang gelaran suami, memberikan inspirasi antara satu sama lain untuk bangun di sepertiga malam menyatakan rasa cinta kepada yang SATU itu.



Aku bercinta dalam dilema
Mencari yang tiada dijangka
Biar sakit yang kau sedia
Sepenuh jiwa aku redha



Kamu tahu, kesedihan-kesedihan yang pernah melatari sebuah kehidupan itu sedang mengajar kita. Mengajar untuk menjadi lebih dewasa, tenang dan sabar. Aku sama sekali pernah tidak mampu untuk melayarinya sendirian tanpa DIA. Buat masa kini, DIA itu keutamaanku. Aku harap kamu jua begitu. Andai engkau pernah dirundung kesedihan atas sesuatu peristiwa, serahkan hatimu kepada DIA, biar DIA yang ubati hati kamu. Seperti mana aku jua. Aku sudah katakan pada lembaran lalu, aku tidak mahu kamu ini mudah patah hati mahupun kecewa atas sebab-sebab yang sangat remeh. Aku tidak sanggup untuk tahu tentang itu.





Dan aku mengharapkan jiwa yang ada pada kamu itu jiwa Islam. Jiwa jihad. Aku tahu, engkau pernah kecewa dalam sebuah jalan dakwah ini. Masakan Rasulullah sendiri pernah ditentang apatah lagi kita manusia biasa. Sabarlah wahai bakal zaujku yang aku tidak tahu siapa lagi. Aku tahu, ianya sangat payah untuk dilalui sendiri tapi bila kamu mengatakan bahawa ALLAH itu ada, kamu sendiri akan kuat. Tapi, jika kamu sedang memperjuangkan satu jalan yang ditentangi Islam, aku akan mendoakanmu semoga kamu kembali ke pangkal jalan. Semoga engkau diberi hidayah oleh-Nya. Satu sahaja yang ingin ku katakan, perubahan itu hendaklah dicari bukan ditunggu! Dan aku berharap, apabila kita bertemu satu hari nanti, kita berdua telah bersiap sedia untuk melayari sebuah bahtera perkahwinan. Mana mungkin kita ingin melayari sebuah bahtera ini dengan sampan kecil apatah lagi yang usang kan? Pasti kita mahu melayari bahtera ini dengan nahkhoda yang sarat dengan keimanan dan ketakwaan..kerana ku tahu, bahtera ini pasti akan diuji kelak. 



Adanya satu itu kelabu
Adanya satu itu pasti bertemu
Mahu aku bertanya Kau kirimkanlah
Mahu aku pada siapa Kau jelaskanlah





Aku tidak tahu siapa kamu. Aku juga tidak tahu di mana kamu. Aku tidak tahu apa yang kamu lakukan. Semuanya ku serahkan kepada DIA. Berjuta kemaafan atas segala salah dan silap sepanjang sebelum kita dipertemukan. Sebuah cinta yang aku miliki hanyalah milik DIA. Sekeping hati yang memiliki rindu hanya aku berani merindui DIA. Kamu tahu, hati perempuan itu rapuh. Sangat rapuh. Sekejap, dia rasa dia ingin dicintai. Sekejap lagi, dia rasa ingin mencintai. Tak kan mungkin aku ingin merasai kecewa. Maka, aku serahkan kepada DIA biar DIA sahaja yang selayaknya ku cintai.



Bakal zaujku,


Bukan aku tidak mahu mengenalimu siapa. Aku tahu, ALLAH telah memberikan tarikh waktunya. Namun, aku khuatir, jika aku mengetahui siapa kamu secepatnya, bimbang aku tak mampu menjaga hati. Terkadang aku merasakan aku punya dua personaliti. Itu yang ku takuti. Bimbang personaliti memakan diri. Memusnah diri. Kadang-kadang orang senang dengan ku, kadang-kadang mungkin ada juga yang kurang senang denganku atau juga mungkin ada cakap-cakap kurang manis dibelakangku yang mungkin aku tidak tahu. Aku tahu, kamu tidak mampu membantuku, kerana kamu masih belum kenal siapa aku. 

  

Istikharah.. Istikharah..
Pada-Mu ya tuhanku lepaskanlah aku
Dari tanya dan keliru
Istikharah.. Istikharah
Demi nama-Mu ya Allah







Aku tidak meletakkan syarat yang susah untuk kamu memenangi hatiku satu masa nanti. Cukup bagiku, jika kamu punyai iman, menyintai DIA lebih dari segalanya. Maaf jika aku sedikit demand, bukan harta kamu yang membahagiakan aku, bukan ketampanan wajahmu yang menggoyahkan perasaanku, apatah lagi keturunanmu yang membuatku senang. Aku cuma inginkan yang terbaik demi masa depan kita. Aku juga ada kelemahan yang tersendiri. Tapi aku cuba dan usaha selagi mampu untuk menjadi yang lebih baik. Moga kau dan aku sedang mempersiapkan diri. Mungkin sebentar sahaja lagi kita akan bertemu atau mungkin lambat lagi. Hanya DIA yang Maha Mengetahui segala sesuatu.







Akhir kata, izinkan aku bertanya kepada kamu; adakah aku insan pertama yang berada di hati kamu? Kamu jawab bila kamu sudah ketemu denganku kelak. Aku tidak meminta kesempurnaan dari kamu, aku cuma kamu bersedia untuk membimbing dan dibimbing, mentarbiyah dan ditarbiyah serta mendidik dan dididik. Cukup sampai di sini kata-kataku kepada kamu yang aku tidak ketahui siapa. Hanya pemilik nyawaku sahaja yang mengetahui diriku tercipta untuk siapa. Jika ada bicara yang ingin disambung, aku akan menulis lagi, bercerita kepada kamu walaupun aku tidak tahu kepada siapa aku tuju. :)


Aku sujud penuh menyembah
Berikan aku jawapannya
Biar sakit biar pahit
Yang diutus-Mu itulah kesempurnaanku




Yang benar,
AA@cempakasireh



p/s: Still single?? Well ALLAH is looking at you right now and saying..I am saving this person for someone special~ ♥ Sungguh ALLAH Maha Kaya Cinta ♥
Syukran ya Allah, pertemukanku dgn Fawa, may Allah bless her always~

0 comments: