Sunday, May 22, 2011

Warkah buat adinda tercinta




Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Assalamualaikum


Masih terngiang-ngiang suara ustaz di siaran Tanyalah Ustaz TV9 pagi tadi. Jika kita tidak mampu menegur dan menyapa seseorang dengan teguran (ucapan), tidak diberi keistimewaan dalam menyampaikan dengan ucapan kata-kata..menulis juga adalah salah satu cara yang Allah anugerahkan untuk menyampaikan apa yang baik sesama umat Islam. Tidak perlu malu untuk menyampaikan sesuatu jika masih di landasan yang betul dan tidak melanggar syarak yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Alhamdulillah, syukur masih diberi kekuatan lagi untuk menulis dan ingin berkongsi di blog ini yang sudah dua minggu dibiarkan sepi tanpa entri baru. Inspirasi dari laman web iluvislam, penulis tujukan warkah ini untuk adik-adik tercinta..leen dan athirah terutamanya, nad, adik-adik housemate, my dear yani, serta sahabat-sahabat karib yang disayangi dan sentiasa diingati dalam doa...

     

Assalamualaikum...
Salam kasih dan sayang buatmu adinda.

Segala puji bagi Allah atas limpahan rahmat dan kurnia-Nya dalam menyatukan hati-hati kita. Juga tiada mampu untuk kita memuji akan diri-Nya melebihi Dia atas jalinan ukhuwah yang telah lama dijalinkan dengan izin dari-Nya... Alhamdulillah.


Adik...
Sudah terlalu lama kakak tidak menitipkan bicara melalui coretan buatmu. Maafkan kakak. Sekalipun bicara coretan tidak kakak hulurkan namun kita tetap jua berhubung dan masih bertanya khabar.


Adik...
Hari ini, hati benar-benar terpanggil untuk menarikan jari jemari ini. Bersama doa agar rahmat dan lindungan Allah sentiasa bersama kita, kakak mulakan sebagai persembahan pembukaan.


Sebenarnya, sudah lama juga kakak berkira-kira untuk 'menyapa' (menegur) adik, tapi dek kerana bimbangkan ada hati yang akan terguris, kakak tangguhkan.
Maaf adik! Bukanlah niat kakak untuk melukakan, jauh sekali membuat adik berkecil hati. Tapi, sebelum apa juga perasaan yang adik rasakan, segeralah kembalikan diri kepada Allah, InsyaAllah hatimu akan berasa tenang. Anugerah ketenangan itu dari Allah, dan kita sebagai hamba diberikan pula kemampuan untuk melaksanakan... Subhanallah. Indahnya kurniaan.


Adik...
Mungkin adik sendiri telah maklum akan perubahan kakak walau tidak seberapa dan tidak sempurna mana pun lagi yang ada pada diri kakak sekarang. Seorang perempuan yang menyintai Pemiliknya... dan tiap waktu merindui akan keagungan yang diciptakan-Nya. Allahu Akbar! Bukan hanya melalui kata-kata, tapi ia atas rasa percaya dan benar-benar merasa.


Adik...
Bersama anugerah terindah yang sedang kakak daki kini, bersama persalinan baru yang kakak pakaikan pada diri, kakak rasa begitu bahagia sekali. Walaupun pada pandangan duniawi, kakak ini serba tiada, harta benda, pangkat dan darjat, tapi kakak dapat merasa nikmat berada dijalan-Nya.


Adik...
Jika suatu waktu dulu, dosa pahala tidak kita ambil kira, meniti jambatan dunia hingga terlupa di hujungnya akhirat yang tersedia, tapi hari ini, kakak berada dilandasan yang berbeza. Mungkin masih jua di jambatan yang sama, tapi memilih lorong yang tahu menilai ganjaran dan azab yang dijanjikan-Nya. Astaghfirullah.


Adik...
Hampir seluruh zaman remaja kita habiskan dengan penuh kealpaan, tidak berjaya meletakkan diri sebagai anak yang solehah. Tidak menyenangkan hati kedua mama dan papa sedang mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang dan tidak meminta untuk membalas tiap amal bakti yang diberikan. Astaghfirullah. Pasti hati kecil mereka merintih saat kedegilan itu menguasai anak-anak yang menjadi harapan dunia dan akhirat.


"Ya Allah, ampuni kami ya Allah. Sesungguhnya kami ini anak-anak yang berdosa."
Namun adik, sedarkah kita bahawa hari ini Allah masih juga memberikan nikmat untuk kita merasakan alam dewasa suatu hari nanti. Alhamdulillah, jika dipanjangkan umur diberikan juga kesempatan untuk kita bergelar isteri dan ibu. Subhanallah. Allah Maha Pemurah. Tiada yang layak dipuji melainkan Dia. Dan diberikan juga peluang untuk bersama mama dan papa yang sedang meniti penghujung usia mereka. Allah Maha Besar!


Adik...
Perkara-perkara inilah yang menjadikan kakak selalu mencari diri, mencari jalan pulang ke sisi-Nya Yang Maha Pemberi. Dan selalu merasakan tidak cukup untuk membalasnya dengan ucapan 'terima kasih' dalam tiap gerak nadi yang berdenyut.


Adik...
Bersama kekuatan dan kemampuan yang Allah berikan pada kakak saat ini, kakak benar-benar ingin memimpin adik bersama kakak untuk berada di landasan yang sama.
Dekatilah Dia, adik. Kembalilah pada-Nya. Jalan untuk menghampiri-Nya sentiasa luas terbuka. Malah Dia jua Maha Pengampun tiap dosa walau sebesar mana murka yang ada buat kita. Subhanallah. Ayuhlah adik, kembali mencari jalan pulang sebelum kita bertemu denganNya.


Adik...
Bersama warkah ini, kakak tinggalkan adik pesanan-pesanan ini, juga pesanan untuk kakak sendiri yang mungkin mampu dijadikan azimat dalam kita meniti sisa usia yang Allah masih berikan...InsyaAllah.

  •  Letakkanlah niat hatimu semata-mata kerana Allah dalam apa jua yang dirimu ingin lakukan.
  • Hiasilah dirimu dengan rasa malu yang menebal, agar dirimu bisa memperoleh cahaya yang tersembunyi disebalik kepalsuan dunia.
  •  Peliharalah solat. Perbaikilah ia. Dirikanlah diawal waktu.
  • Bersahabatlah dengan Al-Quran dan Sunnah agar dapat menjadi penyuluh jalanmu.
  •  Peliharalah jua aurat mu. Tutuplah ia dengan syariat yang telah ditetapkan. Ingatlah akan azab yang dijanjikan Allah buat hamba-hambanya.
  •  Tunaikanlah kewajipan yang telah diperintahkan Allah buat kita dan jauhi maksiat dan kemungkaran yang melalaikan.
  •  Jadilah dan pelajarilah sungguh-sungguh  menjadi seorang isteri (suatu hari nanti) yang redha, ikhlas dan sabar atas tiap ketentuan yang Allah berikan.
  •  Letakkanlah diri sebagai ibu pada masa hadapan nanti yang solehah dan menjadi murabbi kepada anak-anak.
  •  Hapuskanlah kegagalan sebagai seorang anak kepada mama dan papa , gantikanlah dengan bakti yang terbaik buat mereka ketika mereka masih ada..



Adik...
Untuk menjadi wanita solehah yang berperanan sebagai gadis perawan, isteri, ibu dan mujahidah serta terhindar daripada segala fitnah yang timbul, ia mestilah mencontohi keperibadiaan wanita-wanita Islam terdahulu, yang telah terbukti kesolehahan dan sumbangan besar mereka kepada pejuangan Islam.Kenang-kenangkanlah kemuliaan peribadi, pengorbanan dan perjuangan Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Fatimah Az-Zahra, Rabiyatul Adawiyah, Zainab al-Ghazali dan tokoh-tokoh wanita silam. 
Sesungguhnya mereka telah meninggalkan teladan dan mutiara yang tak ternilai buat kita.


Adik...
Selebihnya, pasti adik akan temuinya nanti... InsyaAllah.
Inilah jalan kita. Jalan pulang yang kita cari-cari selama ini. Kakak doakan moga adik dipermudahkan Allah dalam usaha menuju ke jalanNya.
Akhir bicara, maafkan kakak andai bicara ini membuat hati kecilmu tersentuh.

Ingatlah adik, dunia ini pinjaman semata-mata. Tiada yang akan kekal melainkan Dia. Sementara diberikan kekuatan dan kemampuan untuk kita membezakan, pilihlah jalan yang diredhaiNya.


Moga dikalungkan taufik dan hidayahNya buat kita dan sentiasa diampunkan dosa. Kita ini hanya hamba. Hamba yang selayaknya meminta pada Dia yang sentiasa bersedia memberikan laluan buat kita, kerana hanya Dia tempat kita menyembah dan memohon pertolongan. Tiada daya dan upaya kita melainkan hanya denganNya, Yang Maha Menguasai tiap perkara. Maha suci Allah!
Wassalam.

From;
Kakak.
Hamba Allah yang diciptakan untuk akhirat.



p/s: Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. pernah bersabda, maksudnya : "Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, bila engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya"; perlu kita berusaha sungguh-sungguh  untuk mencapainya dan dengan izin dariNya, kita mampu sis..we can do it~

Wednesday, May 11, 2011

~Sepucuk Surat Ku Coretkan dari Sudut Hati ini~



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Assalamualaikum





Kehadapan bakal suamiku yang aku sendiri tidak tahu siapa kamu..mungkin masih dalam kesamaran lagi di ketika ini;




Kumulakan bicara ini kepada kamu dengan menyebut nama Allah yang Agung. Maha Suci Allah yang menjadikan aku dan kamu, lelaki dan perempuan. Sebenarnya aku agak canggung untuk menulis tinta ini buat kamu. Ya, siapa pun kamu yang telah ditakdirkan Allah untukku, aku bersyukur seadanya, mengurniakan kamu padaku pada suatu masa yang telah Allah tetapkan.




Aku sedang menjaga ikhtilat dan hati ini hanya untuk kamu yang aku sendiri tidak tahu siapa. Aku sedang menjaga diri ini untuk yang sah memiliki. Aku juga berharap yang sama dari kamu. Maka, aku tidak akan seenak-enaknya memberi senyuman manis kepada lelaki-lelaki lain. Aku juga tidak mungkin menyerahkan cinta dalam hati ini yang masih tersimpan rapi untuk kamu yang aku tidak ketahui siapa.





Pertamanya, aku mohon maaf secara terbuka, andai episod semalam pernah menyaksikan kecundangnya aku dalam bab ikhtilat ini. Baru aku sedar, aku tidak pernah menjaga hati ini dengan cara yang betul. Aku bilang bercouple itu tidak salah di sisi Islam; rupa-rupanya perkara itu dibenci oleh Allah, pemilik nyawa ku ini. Aku mohon maaf untuk itu andai kesucian hati sebelum ini pernah dirobek.



kamu yang masih belum ku ketahui siapa jodohku




Aku cuma menginginkan kamu sedang dalam persediaan. Aku tidak kisah siapa pun kamu, yang penting kamu belajar. Menambahkan ilmu pengetahuan di dada, agar suatu hari nanti kamu boleh mengajar anak-anak kita dengan ilmu kamu. Aku tidak suka lelaki yang membuang masanya, berhabis masa bermain game PS3 or di komputer sekalipun, atau chit chat kosong semata, atau hobinya melepak di warung-warung kecil di tepian jalanan. Kerana aku mementingkan ilmu sebagaimana aku sedang berusaha untuk meraih ilmu kini.





Aku juga mahu kamu yang tidak ku ketahui siapa, kuat untuk berjaga malam demi merebut kasih Allah. Aku ingin, setelah pernikahan kita nanti, malam-malam kita diisi dengan tahajud cinta kepada-Nya bersama. Aku sangat menginginkan detik ini kerana aku sangat sukar melakukannya sendirian. Dan aku sangat mahu engkau yang menjadi imam pada setiap solat-solatku, itu pintaku.





Aku pasti sangat bersedih andai aku bisa dibuka hijab untuk melihat perlakuanmu kini, pemakaianmu, dan akhlakmu. Entahlah, dari dulu sehingga sekarang, aku sukar menerima lelaki yang menghisap rokok dan yang memakai seluar pendek sehingga menampakkan aurat mereka. Aku sedang menjaga auratku juga dari terlihat oleh orang yang tidak sepatutnya, yang bukan halal bagiku. Aku sangat dukacita andai kamu yang aku tidak tahu siapa mudah patah hati dalam perjuangan menegakkan syiar di jalan Allah. Aku tidak mahu kamu mudah berputus asa, kerana aku akan sentiasa mendoakan kamu yang aku sendiri tidak tahu siapa sentiasa bersemangat menjulang panji-panji agama. Semoga kamu bisa menjadi seperti Asadullah.




Maafkan aku, jika sebelum kita bertemu ini, akhlakku masih pincang, kata hati sering diikuti. Kerana itu Allah belum menemukan kita, kerana kita masih dalam perjuangan; perjuangan memburu cinta Illahi. Agar kasih kita suatu hari nanti bersandarkan kasih-Nya.


Bakal zaujku,



Aku sangat takut untuk mengharungi dunia ini seorang diri. Aku takut melihat jatuhnya akhlak remaja kini, aku takut andai aku terjerumus dalam semua itu. Aku juga khuatir melihat dunia kini semakin usang untuk didiami kerana tandusnya akhlak muda-mudi. Dunia kita kini jauh beza, dunia kita tidak sama dengan dunia Islam dahulu. Tiada lagi pemuda seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang menakluk Kota Konstantinopel pada usianya 22/23 tahun. Kiranya, aku pernah minta kepada Allah, agar Dia mengirimkan engkau secepatnya kepadaku agar aku dapat berlindung kepadamu, tetapi aku tahu kamu masih dalam proses membina diri dan membina kerjaya, maka aku tidak mahu mengganggu fokusmu.



Yang paling penting, semoga engkau dapat menghormati kedua orang tuaku dan anggap mereka sebagai orang tuamu juga. Kasihilah mereka dan aku minta agar aku dapat berbakti untuk mereka walaupun tanggungjawabku akan beralih padamu suatu ketika nanti.


Aku tidak tahu; sama ada bakal zaujku yakni kamu ini apakah aku kenal atau pun tidak. Siapa pun kamu aku terima seadanya, cuma aku mohon semoga kamu punya iman dan agama untuk membimbingku suatu hari nanti apabila tiba masanya saat kita dipertemukan Allah. Maafkan segala keterlanjuranku sepanjang hayatku sebelum kita dipertemukan; iaitu saat ini. 




Akhir kata, semoga Allah melindungi kamu dan aku walau di mana pun kita berada. Semoga Allah lah yang akan menjadi urusan utama kita pada setiap ketika, semoga syiarnya kita bisa perjuangkan walau di mana jua kita berada. Aku berharap agar imanmu sentiasa sihat. InsyaAllah, aku akan cuba sedaya upaya untuk menjaga diriku sebaik mungkin. Hidupku cuma ada Allah, dan itu keyakinanku. Semoga kita dipertemukan oleh Allah pada masa yang telah Dia tetapkan untuk kita.



Aku tidak meminta kesempurnaan dari kamu, aku cuma meminta persediaan dari kamu untuk bersedia membimbing dan dibimbing, mentarbiyah dan ditarbiyah serta mendidik dan terdidik.

yang benar;
AA @ CS
...............


Bersaksi cinta diatas cinta
Dalam alunan tasbih ku ini
Menerka hati yang tersembunyi
Berteman dimalam sunyi penuh Doa

Sebut nama Mu terukir merdu
Tertulis dalam sajadah cinta
Tetapkan pilihan sebagai teman
Kekal abadi hingga akhir zaman

Istikharah cinta memanggilku
Memohon petunjuk-Mu
satu nama teman setia
Naluriku berkata

Dipenantian luahan rasa
Teguh satu pilihan
Pemenuh separuh nafasku
Dalam mahabbah rindu

di istikharah cinta..


p/s: Cinta dan kasih antara Allah kepada hamba-Nya, tidak sama tanding antara cinta dua hamba-Nya ♥ Sungguh Dia Maha Kaya Cinta ♥
*Thanks a lot to Fawa, kakak-kakak naqibah & usrah members :)



Wednesday, May 4, 2011

Bertaubatlah Sebelum Terlambat; Disaat Terasa Diri Berdosa



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Assalamualaikum



Doa Taubat (Astaghfirullah)

Berbillion-billion kita melakukan dosa
Allah masih sayangkan kita
Asalkan kita kembali berpaling kepada cinta-Nya
"Setiap manusia yang melakukan kesalahan pasti akhirnya akan kembali mengingati Allah. Tersedar akhirnya diri yang berdosa selama ini, menjejak kembali meratib cinta-Nya. Padahal dalam hati penuh dengan rasa hina dan kotor terkesan dari segala perbuatan lampau. Bermain-main dalam hati-hati ini, mahukah Allah menerima taubat hamba-Nya ini? Yang dahulu penuh dengan kekhilafan? "


Syarat-syarat bertaubat;
1. Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w:


اَلنَّدَمُ تَوْبَةٌ
“Menyesali (dosa) itu adalah taubat”.

2. Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.



3. Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah lahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.



4. Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah:

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا تُوْبُوْا اِلَى اللهِ تَوْبَةً نَّصُوْحًا عَسَى رَبُّكُمْ اَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا اْلاَنْهَارُ
“Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”.

Allah juga berfirman:

اِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْنَ.
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang mahu bertaubat dan orang-orang yang mahu membersihkan dirinya sendiri”.


Orang yang leka atau tidak mahu bertaubat, kemudian menyerahkan nasibnya kepada qada dan qadar, maka ia adalah seorang yang amat jahil, telah meninggalkan perintah Allah, seorang yang sombong, tidak sedar diri, dan telah menzalimi darinya sendiri sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

وَمَنْ لَّمْ يَتُبْ فَاُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُوْنَ.
“Dan barangsiapa yang tidak mahu bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim”

Allah menyeru dan memerintahkan agar hambaNya yang berdosa sering bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang murni). Perlulah diketahui dan disedari bahawa Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun sentiasa menerima taubat seseorang walau bagaimanapun besarnya dosa yang telah dilakukan

Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)

Waktu melaksanakan taubat :
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya
Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.
Cara melaksanakan solat taubat :
Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;
  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
  • 027alquran3.gif
    Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,
munajat1.jpg
Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.
  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,

penghulu.jpg

source; Dr.Cinta & Oh! Islam


p/s: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau, Ya Allah”

Sunday, May 1, 2011

..Kekhilafan Hati..


Assalamualaikum 


Ini entri agak panjang daripada biasa..
Antara salah satu lagu yang dapat mendamaikan diri pemilik blog ini.



“Siti Syazwani. Happy Birthday! Semoga kamu akan sentiasa dirahmati Nya… All the best in everything you do… Jaga diri & iman baik-baik ya~…
-Amin, UK-”
...Aku mencapai telefon mobilku dan membelek-belek SMS ucapan hari lahir yang diterima minggu lepas. Cukup ringkas. Namun. Aku masih tertanya-tanya mengapa Amin hanya mengirimkan SMS sahaja kali ini? Jika tidak, tahun-tahun sebelum ini pasti sudah ada kad besar dan bermuzik akan tiba beberapa hari sebelum hari lahir ku. Dah lah pakai nombor orang lain, siap tulis nama penuh aku pula tu. Tak pernah pula dia tulis macam ni… Ish, hati mula ragu-ragu. Menyangka sesuatu yang tak baik sedang berlaku.
Adakah dia sudah ….? Argh, tak mungkinlah! Dia dah kata takkan ….
Aku teringat ketika dia pulang bercuti pada musim summer tahun lepas. Namun, sebelum itu aku sudah rasa banyak perubahan berlaku pada dirinya. Dia telah mula banyak memberi nasihat-nasihat baik ketika kami berhubung sama ada melalui telefon, SMS, email, YM dan juga facebook. Dan ketika itu. Aku mendapat cuti seminggu dan telah bercadang untuk turun ke KL dengan kakak melawat saudara-mara, dan sambil-sambil itu bolehlah juga berjumpa dengan si Amin. Setahun sekali tak salah rasanya. Melepas rindu lah sedikit. ‘Boring’ juga kalau asyik berhubung melalui telefon saja. Lagipun Kuantan-KL sekarang boleh travel dalam 3 jam 1/2 dah. Ulang-alik setiap hari pun boleh.
Di KL. Aku telah menghubunginya dan cuba mengajak untuk berjumpa. Dia menolak ajakan aku untuk keluar berjalan-jalan daripada pagi sampai ke petang. Dia hanya boleh berjumpa dengan ku seketika sahaja pada petang hari. Walaupun dia beralasan sibuk, tapi aku tahu dia taklah sesibuk mana. Nak tak nak. Aku terpaksalah menerima sahaja cadangannya. Asal boleh berjumpa, ia sudah cukup bagi aku. Dan petang itu kami taklah ke mana-mana sangat. Ronda-ronda sahaja dengan kereta Wira kesukaannya itu. Selepas ber-Asar di Masjid Wilayah, Amin membawa aku ke sebuah restoran dan kami makan ‘early dinner’ di situ. Kemudian, satu detik yang agak ‘mengingatkan’ bagi aku adalah sewaktu kami dalam perjalanan menghantar pulang aku ke rumah saudaraku…


Dia ada bertanya “Apa beza kita dengan mereka kat situ tu ye?” Amin menunjuk-nunjuk ke arah beberapa pasang ‘couple’ yang sedang lepak berdua-duan di tempat-tempat duduk sepanjang sebuah taman. Aku tergamam sekejap. Huh. Agak menduga, tapi ‘simple’ saja. “Ala, kita ni baik sikit. Tak ada pegang-pegang. Tutup aurat elok. Sampai waktu solat, kita solat. Erm… Islamik sikit lah pendek cerita!.”
“Hmm..” Amin hanya mengangguk-angguk.
“Dalam Islam ada ke macam ni?” Amin menduga lagi.
Erk… Semakin terkesima aku dibuatnya. Kali ini aku terus diam terpaku. Aku tahu dia lebih banyak tahu selok-belok masalah benda-benda macam ini. Kalau aku jawab lagi, mesti dia ‘counter’ lagi. Huh. Diam sahaja lah!
“Erh, abaikan saja lah. Saja saja saya tanya…” Amin cuba menyedapkan hati.
Tidak lama selepas Amin terbang pulang semula ke UK untuk menyambung sesi pelajarannya yang baru, dia ada menghantar satu email kepada ku untuk menerangkan kedudukan dan tujuan dia bertanya akan hal itu. Aku sudah mula faham sedikit-sebanyak yang aku perlu mengawal hubungan yang masih tidak ‘rasmi’ ini. Dan sejak daripada itu dia tidak pernah langsung menelefon aku. SMS pula hanya bertanyakan tentang pelajaran sahaja. Itu pun boleh dibilang dengan jari. Namun. Aku bersyukur dan gembira kerana dialah yang membuat aku berubah untuk jadi lebih baik dan lebih faham Islam. Jika dulu pakaian aku agak ketat dan singkat, kini sudah banyak yang labuh dan longgar aku beli. Tudungku pun pernah ditegurnya agar melabuhkan ke bawah dada. Dialah yang memperkenalkan padaku apa itu usrah dan dakwah. Dia juga ada berpesan – ‘Jaga hubungan dengan Allah tu lagi penting. Insya Allah, kemudian Dia akan jaga hubungan kita.’
Jadi, apakah yang akan berlaku selepas ini? Hatiku masih tak tenteram memikirkan SMS ucapan hari lahir itu. Macam-macam sangkaan buruk bermain-main dalam hati yang mula busuk ini. Aku masih setia menanti kepulangannya. Dan aku yakin dia juga setia pada aku. Aku tak pernah memikirkan lelaki-lelaki lain selain dia. Dan aku yakin dia juga tak pernah nak menggatal dengan perempuan-perempuan lain. Dia taklah seperti kebanyakan lelaki yang ‘playboy’ pada masa kini.
Ops! Mungkin agak kasar untuk berkata sedemikian.
‘Tuuut. Tuuut…’ Nada dering SMS berbunyi. Nombor Amin yang terpapar.
“Esok free tak? Boleh kita chatting?”
“Boleh… Saya free saja.” jawab aku ringkas. Erm, mesti dia saja nak buat ‘surprise.’ Aku dah agak dah, takkanlah dia hantar SMS saja untuk ‘wish birthday. Aku. Keyakinan aku mula bertambah. Dia masih sayang padaku.
“Ok.thank you…” balasnya pula.
Keesokannya. Aku menanti awal dia online.
Amin has signed in.
Oh, tepat sungguh waktunya…
Amin: assalamualaikum wbt.
Wani: wsalam…
Amin: apa khabar? sihat? iman baik?
Wani: alhamdulillah. .. sihat2..=) awak?
Amin: alhamdulilah… baik2 juga… iman selalu turun naik sejak kebelakagn ni… tapi tak mengapa, ok saja semua
Wani: awak tak balik ke tahun ni? btw, thanks for the birthday wish last week…
Amin: welcome… tak balik. banyak kerja sikit tahun ni… lagi pun saya nak try bekerja… cari duit…
Wani: wah, rajinnya… baguslah!
Amin: hurm…
Amin: study macam mana?
Wani: ok saja… new sem ni berat sikit.. Jadual pack.
Amin: oic…
Amin: tak mengapa, study rajin2 ye..
Amin: hurm, dah lama nak tanya ni sebenarnya…
Amin: hurm…
Wani: apa dia? tanya lah… sila2..
Amin: 1st of all sorry dulu ye… hurm, apa pendapat awak tentang kita sekarang?
Wani: erh… macam awak kata dalam email tu dulu yang kita ni kan ‘kawan’… tak lebih daripada tu… tapi, special sikit… tiada couple-couple macam org lain… declare pun tak kan?
Wani: so, statusnya kawan saja lah…
Amin: hurm…
…..
Wani: erh, tak betul ke?
Amin: hurm.. ni opinion saja lah – antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tiada perhubungan yang lebih akrab melainkan hubungan suami isteri sahaja… yang lain-lain.. atas alasan apa sekali pun ia tak patut diterima..
Aku tergamam seketika. Tertampar keras juga rasanya…
Wani: jadi…
Amin: saya rasa kita harus stop… stop untuk berpisah…
Amin: sebab……
Amin: sebab saya sedar yang semua ini adalah salah dan juga keliru…
Amin: benda ni akan buatkan hati ternodai… zina hati akan banyak berlaku…
Amin: walaupun kita jauh, tak call, tak jumpa dll, tapi hati tetap ber’zina’…
Amin: huh…
Amin: saya bercakap itu dan ini pada org ramai… tapi, dalam masa yang sama saya meyelindungi sesuatu yang tak sepatutnya saya buat…
Amin: kononya Islamik…
Amin: saya rasa cara ni tak betul… kita sebenarnya yang dah menyarungkan benda yang tak baik ni dengan Islam… then, org nampak Islamik…
Amin: saya rasa tak ada beza pun kita dengan org lain yang duduk ber’couple2′ ini..
Amin: hurm…..
Amin: jadi, saya rasa kita harus berpisah…
Amin: demi menjaga diri…& sama-sama untuk kembali harungi hidup dalam redha Ilahi…
Amin: sorry… sorry banyak-banyak untuk segala apa yang telah kita buat…
Amin: dan sorry juga sebab telah membawa awak ke jalan yang lupa pada-Nya…
Amin: andai ada jodoh, moga dipertemukan…

Astaghfirullahalazim. Aku beristighfar panjang. Ku kesat peluh di dahi… Air mata jahiliyah ku deras menitis membahasi meja. Sedikit terpercik pada keyboard laptop. Aku tak sangka perkara seperti ini akan terjadi sepantas ini. Ringkas, lembut, berhikmah serta points-nya yang jelas membuat aku tak dapat membantah dan berkata-kata. Sedih, pilu, kecewa, dan sesekali timbul rasa kesal pun ada. Tapi, semua itu tak bermakna lagi…
Aku tak mampu lagi untuk menyambung perbualan tersebut. Ku pasrah dan terima sahaja keputusan yang dibuat oleh Amin itu. Di saat ini, hanya Allah yang bisa mendengar bisikan hati rapuh ini. Dialah juga tempat ku pohon keampunan atas segala kekeliruan yang telah aku timbulkan. Rupanya selama ini aku telah tertipu dengan bisikan musuh, mengikut jalan taghut, mencampurkan halal dan haram, serta mengandunkan yang Islam dan al-hawa…

Cinta hakiki hanyalah pada Allah…

Tiba-tiba aku teringat hadis halawatul iman yang pernah dibincangkan oleh naqibah aku tak lama dahulu; pertama-tama sekali mestilah mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada makhlukNya, kemudian mencintai seseorang itu hanya kerana Allah dan akhir sekali, mesti benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci dicampakkan dirinya ke dalam api neraka. Dengan demikian barulah dapat merasai kemanisan iman itu.
Hanya Allah sahajalah yang layak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikhendakiNya. Moga-moga Dia kuatkan dan teguhkan hatiku menghadapi dugaan ini dan moga-moga diringankan beban yang kupikul ini.
Aku terus menjawab ringkas….
Wani: thanks & sorry too… saya terima… Alhamdulillah…
Wani: moga awak bahagia dan sukses selalu di sana. doakan saya juga.
Wani: wassalam.
Signed out
Aku merasakan hubungan tiga tahun yang terbina itu memang salah pada dasarnya. Bagaimana mungkin ia dapat mewujudkan sebuah keluarga yang menjunjung Islam jika asasnya terbina melalui cara al-hawa? Ya, kami memang saling menasihati dan bertazkirah, saling mengejut Qiamulail, saling menghantar SMS ayat-ayat Quran serta hadis, tapi semua itu memang tak betul caranya. Aku sedar yang kami telah mempergunakan Islam untuk mencapai matlamat peribadi… Astaghfirullah. . Syukur pada Mu ya Allah kerana lekas mengembalikan ku pada jalan redha-Mu.


"Sayang... Cepat turun ni. Nurul dah nak sampai." Ops! Tersedar daripada lamunan kisah 15 tahun lepas itu tatkala mendengar sahutan suamiku, Muhammad Aqil untuk bersiap menyambut tetamu istimewa kami Nurul dan Amin.
"Ya bang, Wani turun..."
Alhamdulillah... Siap semuanya. Aku menutup lid laptopku dan bergegas turun ke bawah. Aku sudah bersedia untuk membentangkan 'presentation' kepada beliawan-beliawanis negara mengenai Cinta Remaja dalam program 'Belia Negara 2057' esok. Aku sangat bersyukur menjadi siapa diri aku sekarang ini dan aku mengharapkan belia-belia harapan negara dapat kembali kepada cara fitrah yang sebenar dalam menguruskan soal cinta.
~
The end of the strory

.........................................................................

Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan.Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati. Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.


Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu.


Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi. Antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis."

Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran Al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud:
 "Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih."(Surah Yusuf, ayat ke-24)

Cara-cara untuk mengatasi dan kawal zina hati untuk dikongsi bersama;



  • IKHLAS KEPADA ALLAH


Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan:

"Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya."



  • BERDOA




  • MENGURUS MATA DAN PANDANGAN

Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh.

Ibnu Qayyim menyatakan:
 "Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya."


  • BERNIKAH DAN MEMBINA RUMAH TANGGA ADALAH TERBAIK






Zina hati zina yang paling tersembunyi kan..dengan hanya mengingati kekasih hati, kita pun dah melakukan satu zina, zina hati dengan memikirkannya. Jadi, tak kan lah sampai tak boleh nak pikir langsung?





Sources cara-cara mengatasi zina hati: Dr.Cinta

Need to control sebenarnya, dan perlu selalu dekatkan kepada Allah, mintak dijauhkan dan mintak dikuatkan hati kita dari memikirkannya. Bukankah ALLAH melihat kepada hati..ALLAH melihat kepada kejernihan hati hamba-hamba-NYA. Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud.. 


"sesungguhnya beruntung orang yang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotori jiwanya."


"Ya Allah kuatkanlah hatiku dan semangatku ini Ya Rabb..jauhkanlah aku dari sifat putus asa menjaga hati ini...Engkaulah yang Maha Mengetahui segala-galanya"



p/s: "sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging..apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota.dan apabila daging itu rosak,maka rosaklah seluruh anggota..ketahuilah, itulah HATI." Semoga kita dapat mengawal hati kita bersama-sama dari terus melakukan kesilapan yang sama dari berulang lagi, amiin.