Sunday, May 22, 2011

Warkah buat adinda tercinta




Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Assalamualaikum


Masih terngiang-ngiang suara ustaz di siaran Tanyalah Ustaz TV9 pagi tadi. Jika kita tidak mampu menegur dan menyapa seseorang dengan teguran (ucapan), tidak diberi keistimewaan dalam menyampaikan dengan ucapan kata-kata..menulis juga adalah salah satu cara yang Allah anugerahkan untuk menyampaikan apa yang baik sesama umat Islam. Tidak perlu malu untuk menyampaikan sesuatu jika masih di landasan yang betul dan tidak melanggar syarak yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Alhamdulillah, syukur masih diberi kekuatan lagi untuk menulis dan ingin berkongsi di blog ini yang sudah dua minggu dibiarkan sepi tanpa entri baru. Inspirasi dari laman web iluvislam, penulis tujukan warkah ini untuk adik-adik tercinta..leen dan athirah terutamanya, nad, adik-adik housemate, my dear yani, serta sahabat-sahabat karib yang disayangi dan sentiasa diingati dalam doa...

     

Assalamualaikum...
Salam kasih dan sayang buatmu adinda.

Segala puji bagi Allah atas limpahan rahmat dan kurnia-Nya dalam menyatukan hati-hati kita. Juga tiada mampu untuk kita memuji akan diri-Nya melebihi Dia atas jalinan ukhuwah yang telah lama dijalinkan dengan izin dari-Nya... Alhamdulillah.


Adik...
Sudah terlalu lama kakak tidak menitipkan bicara melalui coretan buatmu. Maafkan kakak. Sekalipun bicara coretan tidak kakak hulurkan namun kita tetap jua berhubung dan masih bertanya khabar.


Adik...
Hari ini, hati benar-benar terpanggil untuk menarikan jari jemari ini. Bersama doa agar rahmat dan lindungan Allah sentiasa bersama kita, kakak mulakan sebagai persembahan pembukaan.


Sebenarnya, sudah lama juga kakak berkira-kira untuk 'menyapa' (menegur) adik, tapi dek kerana bimbangkan ada hati yang akan terguris, kakak tangguhkan.
Maaf adik! Bukanlah niat kakak untuk melukakan, jauh sekali membuat adik berkecil hati. Tapi, sebelum apa juga perasaan yang adik rasakan, segeralah kembalikan diri kepada Allah, InsyaAllah hatimu akan berasa tenang. Anugerah ketenangan itu dari Allah, dan kita sebagai hamba diberikan pula kemampuan untuk melaksanakan... Subhanallah. Indahnya kurniaan.


Adik...
Mungkin adik sendiri telah maklum akan perubahan kakak walau tidak seberapa dan tidak sempurna mana pun lagi yang ada pada diri kakak sekarang. Seorang perempuan yang menyintai Pemiliknya... dan tiap waktu merindui akan keagungan yang diciptakan-Nya. Allahu Akbar! Bukan hanya melalui kata-kata, tapi ia atas rasa percaya dan benar-benar merasa.


Adik...
Bersama anugerah terindah yang sedang kakak daki kini, bersama persalinan baru yang kakak pakaikan pada diri, kakak rasa begitu bahagia sekali. Walaupun pada pandangan duniawi, kakak ini serba tiada, harta benda, pangkat dan darjat, tapi kakak dapat merasa nikmat berada dijalan-Nya.


Adik...
Jika suatu waktu dulu, dosa pahala tidak kita ambil kira, meniti jambatan dunia hingga terlupa di hujungnya akhirat yang tersedia, tapi hari ini, kakak berada dilandasan yang berbeza. Mungkin masih jua di jambatan yang sama, tapi memilih lorong yang tahu menilai ganjaran dan azab yang dijanjikan-Nya. Astaghfirullah.


Adik...
Hampir seluruh zaman remaja kita habiskan dengan penuh kealpaan, tidak berjaya meletakkan diri sebagai anak yang solehah. Tidak menyenangkan hati kedua mama dan papa sedang mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang dan tidak meminta untuk membalas tiap amal bakti yang diberikan. Astaghfirullah. Pasti hati kecil mereka merintih saat kedegilan itu menguasai anak-anak yang menjadi harapan dunia dan akhirat.


"Ya Allah, ampuni kami ya Allah. Sesungguhnya kami ini anak-anak yang berdosa."
Namun adik, sedarkah kita bahawa hari ini Allah masih juga memberikan nikmat untuk kita merasakan alam dewasa suatu hari nanti. Alhamdulillah, jika dipanjangkan umur diberikan juga kesempatan untuk kita bergelar isteri dan ibu. Subhanallah. Allah Maha Pemurah. Tiada yang layak dipuji melainkan Dia. Dan diberikan juga peluang untuk bersama mama dan papa yang sedang meniti penghujung usia mereka. Allah Maha Besar!


Adik...
Perkara-perkara inilah yang menjadikan kakak selalu mencari diri, mencari jalan pulang ke sisi-Nya Yang Maha Pemberi. Dan selalu merasakan tidak cukup untuk membalasnya dengan ucapan 'terima kasih' dalam tiap gerak nadi yang berdenyut.


Adik...
Bersama kekuatan dan kemampuan yang Allah berikan pada kakak saat ini, kakak benar-benar ingin memimpin adik bersama kakak untuk berada di landasan yang sama.
Dekatilah Dia, adik. Kembalilah pada-Nya. Jalan untuk menghampiri-Nya sentiasa luas terbuka. Malah Dia jua Maha Pengampun tiap dosa walau sebesar mana murka yang ada buat kita. Subhanallah. Ayuhlah adik, kembali mencari jalan pulang sebelum kita bertemu denganNya.


Adik...
Bersama warkah ini, kakak tinggalkan adik pesanan-pesanan ini, juga pesanan untuk kakak sendiri yang mungkin mampu dijadikan azimat dalam kita meniti sisa usia yang Allah masih berikan...InsyaAllah.

  •  Letakkanlah niat hatimu semata-mata kerana Allah dalam apa jua yang dirimu ingin lakukan.
  • Hiasilah dirimu dengan rasa malu yang menebal, agar dirimu bisa memperoleh cahaya yang tersembunyi disebalik kepalsuan dunia.
  •  Peliharalah solat. Perbaikilah ia. Dirikanlah diawal waktu.
  • Bersahabatlah dengan Al-Quran dan Sunnah agar dapat menjadi penyuluh jalanmu.
  •  Peliharalah jua aurat mu. Tutuplah ia dengan syariat yang telah ditetapkan. Ingatlah akan azab yang dijanjikan Allah buat hamba-hambanya.
  •  Tunaikanlah kewajipan yang telah diperintahkan Allah buat kita dan jauhi maksiat dan kemungkaran yang melalaikan.
  •  Jadilah dan pelajarilah sungguh-sungguh  menjadi seorang isteri (suatu hari nanti) yang redha, ikhlas dan sabar atas tiap ketentuan yang Allah berikan.
  •  Letakkanlah diri sebagai ibu pada masa hadapan nanti yang solehah dan menjadi murabbi kepada anak-anak.
  •  Hapuskanlah kegagalan sebagai seorang anak kepada mama dan papa , gantikanlah dengan bakti yang terbaik buat mereka ketika mereka masih ada..



Adik...
Untuk menjadi wanita solehah yang berperanan sebagai gadis perawan, isteri, ibu dan mujahidah serta terhindar daripada segala fitnah yang timbul, ia mestilah mencontohi keperibadiaan wanita-wanita Islam terdahulu, yang telah terbukti kesolehahan dan sumbangan besar mereka kepada pejuangan Islam.Kenang-kenangkanlah kemuliaan peribadi, pengorbanan dan perjuangan Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Fatimah Az-Zahra, Rabiyatul Adawiyah, Zainab al-Ghazali dan tokoh-tokoh wanita silam. 
Sesungguhnya mereka telah meninggalkan teladan dan mutiara yang tak ternilai buat kita.


Adik...
Selebihnya, pasti adik akan temuinya nanti... InsyaAllah.
Inilah jalan kita. Jalan pulang yang kita cari-cari selama ini. Kakak doakan moga adik dipermudahkan Allah dalam usaha menuju ke jalanNya.
Akhir bicara, maafkan kakak andai bicara ini membuat hati kecilmu tersentuh.

Ingatlah adik, dunia ini pinjaman semata-mata. Tiada yang akan kekal melainkan Dia. Sementara diberikan kekuatan dan kemampuan untuk kita membezakan, pilihlah jalan yang diredhaiNya.


Moga dikalungkan taufik dan hidayahNya buat kita dan sentiasa diampunkan dosa. Kita ini hanya hamba. Hamba yang selayaknya meminta pada Dia yang sentiasa bersedia memberikan laluan buat kita, kerana hanya Dia tempat kita menyembah dan memohon pertolongan. Tiada daya dan upaya kita melainkan hanya denganNya, Yang Maha Menguasai tiap perkara. Maha suci Allah!
Wassalam.

From;
Kakak.
Hamba Allah yang diciptakan untuk akhirat.



p/s: Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. pernah bersabda, maksudnya : "Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, bila engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya"; perlu kita berusaha sungguh-sungguh  untuk mencapainya dan dengan izin dariNya, kita mampu sis..we can do it~

0 comments: