Thursday, December 15, 2011

~Sepucuk Surat Ku Coretkan dari Sudut Hati ini II~



Assalamualaikum

In the name of Allah of The Most Gracious & The Most Merciful


Syukur padaMu bukan sekadar dengan ucapan Alhamdulillah, tetapi syukur padaMu dengan mata hati yang sentiasa beterusan mengingatiMU sehingga hujung nyawa~ InsyaALLAH


Lima bulan blog ini tidak diupdatekan, bukan kerana pemilik blog menyembunyikan diri, bukan juga kerana dek merajuk melayan perasaan, namun kekangan masa mencemburui diri ini untuk memberi sepenuh komitmen dan perhatian kepada pengajian di tahun akhir yang insyaALLAH akan melabuhkan tirai pada Januari tahun hadapan. Manakala minggu hadapan adalah minggu terakhir untuk sesi pengajian sem ini dan bermulalah study week, seterusnya demam final exam pun akan bermula :)


Hati ini memanggil-manggil untuk menyambung dan meneruskan lagi sambungan mengenai sepucuk surat yang pernah dicoretkan dari sudut hati ini
 ...Entah mengapa tajuk entri ini yang ingin disambung...^_^




Dan sambungannya...

klik play ok to the sweet song














Kehadapan bakal suamiku yang aku sendiri tidak tahu siapa kamu..mungkin masih dalam kesamaran lagi di ketika ini, masih menjadi tanda tanya di sudut hati..



Takdir langit menukar warna
Dari jingga ke kelam mata
Dalam jubah tanganku melata
Merunduk runtun terus meminta



Semalam, aku bersendiri. Aku sedang membasuh segala dosaku dengan bermunajat kepada-Nya. Kamu tahu, hanya kepada DIA tempat aku mengadu. Kepada DIA ku menghimpunkan segala kepedihan dan kegembiraan. Aku harap engkau juga begitu. Berdoa dan menyerahkan segala jiwa ragamu hanya kerana DIA. Sudah ku katakan sebelum ini, sangat sukar untuk aku bermunajat sendiri di sepertiga malam. Untuk melakukan tahajud cinta seminggu sekali pun payah, apatah lagi sehari-hari. Semoga kehadiranmu satu hari nanti, akan memberikan ku satu semangat baru. Semoga kehadiranmu satu hari nanti yang sudah sah menyandang gelaran suami, memberikan inspirasi antara satu sama lain untuk bangun di sepertiga malam menyatakan rasa cinta kepada yang SATU itu.



Aku bercinta dalam dilema
Mencari yang tiada dijangka
Biar sakit yang kau sedia
Sepenuh jiwa aku redha



Kamu tahu, kesedihan-kesedihan yang pernah melatari sebuah kehidupan itu sedang mengajar kita. Mengajar untuk menjadi lebih dewasa, tenang dan sabar. Aku sama sekali pernah tidak mampu untuk melayarinya sendirian tanpa DIA. Buat masa kini, DIA itu keutamaanku. Aku harap kamu jua begitu. Andai engkau pernah dirundung kesedihan atas sesuatu peristiwa, serahkan hatimu kepada DIA, biar DIA yang ubati hati kamu. Seperti mana aku jua. Aku sudah katakan pada lembaran lalu, aku tidak mahu kamu ini mudah patah hati mahupun kecewa atas sebab-sebab yang sangat remeh. Aku tidak sanggup untuk tahu tentang itu.





Dan aku mengharapkan jiwa yang ada pada kamu itu jiwa Islam. Jiwa jihad. Aku tahu, engkau pernah kecewa dalam sebuah jalan dakwah ini. Masakan Rasulullah sendiri pernah ditentang apatah lagi kita manusia biasa. Sabarlah wahai bakal zaujku yang aku tidak tahu siapa lagi. Aku tahu, ianya sangat payah untuk dilalui sendiri tapi bila kamu mengatakan bahawa ALLAH itu ada, kamu sendiri akan kuat. Tapi, jika kamu sedang memperjuangkan satu jalan yang ditentangi Islam, aku akan mendoakanmu semoga kamu kembali ke pangkal jalan. Semoga engkau diberi hidayah oleh-Nya. Satu sahaja yang ingin ku katakan, perubahan itu hendaklah dicari bukan ditunggu! Dan aku berharap, apabila kita bertemu satu hari nanti, kita berdua telah bersiap sedia untuk melayari sebuah bahtera perkahwinan. Mana mungkin kita ingin melayari sebuah bahtera ini dengan sampan kecil apatah lagi yang usang kan? Pasti kita mahu melayari bahtera ini dengan nahkhoda yang sarat dengan keimanan dan ketakwaan..kerana ku tahu, bahtera ini pasti akan diuji kelak. 



Adanya satu itu kelabu
Adanya satu itu pasti bertemu
Mahu aku bertanya Kau kirimkanlah
Mahu aku pada siapa Kau jelaskanlah





Aku tidak tahu siapa kamu. Aku juga tidak tahu di mana kamu. Aku tidak tahu apa yang kamu lakukan. Semuanya ku serahkan kepada DIA. Berjuta kemaafan atas segala salah dan silap sepanjang sebelum kita dipertemukan. Sebuah cinta yang aku miliki hanyalah milik DIA. Sekeping hati yang memiliki rindu hanya aku berani merindui DIA. Kamu tahu, hati perempuan itu rapuh. Sangat rapuh. Sekejap, dia rasa dia ingin dicintai. Sekejap lagi, dia rasa ingin mencintai. Tak kan mungkin aku ingin merasai kecewa. Maka, aku serahkan kepada DIA biar DIA sahaja yang selayaknya ku cintai.



Bakal zaujku,


Bukan aku tidak mahu mengenalimu siapa. Aku tahu, ALLAH telah memberikan tarikh waktunya. Namun, aku khuatir, jika aku mengetahui siapa kamu secepatnya, bimbang aku tak mampu menjaga hati. Terkadang aku merasakan aku punya dua personaliti. Itu yang ku takuti. Bimbang personaliti memakan diri. Memusnah diri. Kadang-kadang orang senang dengan ku, kadang-kadang mungkin ada juga yang kurang senang denganku atau juga mungkin ada cakap-cakap kurang manis dibelakangku yang mungkin aku tidak tahu. Aku tahu, kamu tidak mampu membantuku, kerana kamu masih belum kenal siapa aku. 

  

Istikharah.. Istikharah..
Pada-Mu ya tuhanku lepaskanlah aku
Dari tanya dan keliru
Istikharah.. Istikharah
Demi nama-Mu ya Allah







Aku tidak meletakkan syarat yang susah untuk kamu memenangi hatiku satu masa nanti. Cukup bagiku, jika kamu punyai iman, menyintai DIA lebih dari segalanya. Maaf jika aku sedikit demand, bukan harta kamu yang membahagiakan aku, bukan ketampanan wajahmu yang menggoyahkan perasaanku, apatah lagi keturunanmu yang membuatku senang. Aku cuma inginkan yang terbaik demi masa depan kita. Aku juga ada kelemahan yang tersendiri. Tapi aku cuba dan usaha selagi mampu untuk menjadi yang lebih baik. Moga kau dan aku sedang mempersiapkan diri. Mungkin sebentar sahaja lagi kita akan bertemu atau mungkin lambat lagi. Hanya DIA yang Maha Mengetahui segala sesuatu.







Akhir kata, izinkan aku bertanya kepada kamu; adakah aku insan pertama yang berada di hati kamu? Kamu jawab bila kamu sudah ketemu denganku kelak. Aku tidak meminta kesempurnaan dari kamu, aku cuma kamu bersedia untuk membimbing dan dibimbing, mentarbiyah dan ditarbiyah serta mendidik dan dididik. Cukup sampai di sini kata-kataku kepada kamu yang aku tidak ketahui siapa. Hanya pemilik nyawaku sahaja yang mengetahui diriku tercipta untuk siapa. Jika ada bicara yang ingin disambung, aku akan menulis lagi, bercerita kepada kamu walaupun aku tidak tahu kepada siapa aku tuju. :)


Aku sujud penuh menyembah
Berikan aku jawapannya
Biar sakit biar pahit
Yang diutus-Mu itulah kesempurnaanku




Yang benar,
AA@cempakasireh



p/s: Still single?? Well ALLAH is looking at you right now and saying..I am saving this person for someone special~ ♥ Sungguh ALLAH Maha Kaya Cinta ♥
Syukran ya Allah, pertemukanku dgn Fawa, may Allah bless her always~

Thursday, July 21, 2011

"After four-five month"



Assalamualaikum

In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful
Syukur padaMu bukan sekadar dengan ucapan Alhamdulillah, tetapi syukur padaMu dengan mata hati yang sentiasa beterusan mengingatiMU sehingga hujung nyawa~ 


Update selepas sebulan tidak ada entri terbaru..rindu itu datang dan menjengah kembali, untuk menulis nukilan di blog ini memujuk hati ini dan hati kamu agar jangan gundah dan gelisah..


"terimalah 'kesusahan' yang sementara ini duhai hati, demi kesenangan dan kebahagiaan yang abadi, dunia yang sementara ini tempat menyemai, di akhirat nanti kita menuai"


No pain, no gain - tidak ada kesakitan, tidak ada ganjaran. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Sejak dahulu lagi pesanan itu dipesan..berkali-kali. Maka, untuk berjaya di dunia apatah lagi di akhirat, mujahadah itu adalah wajib.



Bermujahadah ertinya berperang dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu yang hanya inginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan kebaikan, peringatan dan ketaatan.


Menentang hawa nafsu samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Salah satu sebab mujahadah itu selalu patah. Kadang-kadang belum mujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diri untuk disakiti.. Padahal mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Letih sedikit tidak boleh, nak rehat je yang banyak. Manakala bila pahit sedikit sudah mengeluh. Pedih sekelumit sudah mengaduh.


Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini, di dunia yang sementara ini untuk 'menanam', di sana nanti iaitu akhirat yg kekal abadi tempat kita 'menuai'. Dunia sementara ini umpama tempat 'membayar', di akhirat nanti tempat kita 'bermain'. Pay now, play later.


Tanyalah kepada sesiapa pun yang bernama manusia, siapa yang tidak mahu masuk ke syurga..sudah pasti semua inginkan ke syurga. Namun persoalannya layakkah kita. Lihatlah orang mukmin yg sentiasa rela bersusah payah untuk melakukan ketaatan, kebajikan dan kebaikan. Hidupnya terlalu sibuk dgn ibadat. Berpindah drp ibadat khusus dan ibadat umum dan berpindah lagi kpd ibadat sunat. Sebenarnya, untuk ke syurga banyak dipagari dengan kesusahan dan kepahitan yang perlu ditempuhi...manakala ingin ke neraka, di dunia ini lagi kita boleh menuju dengan begitu senang kerana neraka itu dipagari oleh keseronokan dan kelalaian.    

Pesan Sayidina Ali:

Beribadatlah sehingga kita letih untuk melakukan kejahatan

Sesungguhnya jalan mujahadah itu terletak di hati kita sendiri. Di awal, di pertengahan, malah hampir ke penghujungnya, sering berlaku dialog dalam diri. Apabila susah melanda, merintih..apabila godaan mendatang, cuba bertahan semampu yang boleh, apabila nikmat menjelma, lega...tetapi tidak lama, sukar pun datang mencabar, cuba sabar selagi mampu kerana sabar itu sangat indah dan manis!


Berapa kali diri ini terjatuh, pasti tetap akan bangun. Hidup bukan semata-mata untuk cinta manusia, tetapi yang paling utama adalah cinta Ilahi. Biarlah beberapa kali terjatuh, menyendiri memencilkan diri kesedihan, diri ini tetap ingin ceria dan gembira menggenggam cinta Ilahi. Sungguh sekali tidak mampu hidup tanpa cinta dariNya, biarpun diri terpalit dosa..diri ini tetap ingin mencintai DIA dari segala-galanya. Moga istiqamah dan ikhlas mencintaiMu Ya Ilahi~


*terima kasih Ustaz Pahrol~





p/s : "Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk bertafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yg baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!" Pesanan daripada Imam Ghazali. Carilah, dengan izin dariNya pasti temui..~


p/s/s: ‎'ALLAHUMMA BALLIGHNA RAMADHAN' (Ya Allah, sampaikanlah aku ke bulan Ramadhan), ameen.

Saturday, June 25, 2011

Mengapa Kita Dihidupkan Di Dunia Ini..~





Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Assalamualaikum

Sebulan blog ini tidak berupdate. Tidak perlu direncana mengapa sudah lama tidak berupdate, saya sehat-sehat sahaja..Alhamdulillah. Dikesempatan yang masih diberikan kepada pemilik blog ini..walau hanya entri pendek..semoga ia memberi seribu satu peringatan kepada  "mata hati" saya dan pembaca yang sudi singgah ke blog ini. Syukran!


MENGAPA YA KITA DIHIDUPKAN Di DUNIA INI??


Untuk Sujud Menyembah ALLAH!

Firman Allah s.w.t
*ralat: (surah al-Bayyinah 5:98)


MENGAPA YA KITA DIHIDUPKAN Di DUNIA INI??


Untuk Kita Sebagai KHALIFAH Di Muka Bumi Ini

Firman Allah s.w.t



MENGAPA YA KITA DIHIDUPKAN Di DUNIA INI??


Untuk Kita Menyeru Kebaikan, Membanteras Kejahatan!
Firman Allah s.wt



Dan Sudah Tentu 

ALLAH tidak jadikan kita sia-sia...

Firman Allah s.w.t


*..mcm kanak-kanak ribena la pulak sketch, draw n painting...*


Ingatlah duhai hati, Allah menciptakan manusia dengan misi yang besar. Kita bukan dicipta "saja-saja" atau untuk maksud yang "biasa-biasa" sahaja. Malah bukan manusia sahaja, ciptaan-ciptaan Allah yang lain juga diciptakan-Nya tidak sia-sia. Firman Allah yang bermaksud, "Dan kami menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, bukanlah untuk permainan belaka. Kedua-dua Kami ciptakan hanyalah dengan tujuan yang benar tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." (Surah al-Dukhan 44: 38-39)


p/s: "Never say die before try. There's always room for improvement before you reach perfection. Mampu ke saya? InsyaAllah. HE will lead. Allah dah ketuk pintu hati, jangan sampai nanti DIA merajuk tak nak ketuk pintu hati kita lagi. Go, girl!

Sunday, May 22, 2011

Warkah buat adinda tercinta




Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Assalamualaikum


Masih terngiang-ngiang suara ustaz di siaran Tanyalah Ustaz TV9 pagi tadi. Jika kita tidak mampu menegur dan menyapa seseorang dengan teguran (ucapan), tidak diberi keistimewaan dalam menyampaikan dengan ucapan kata-kata..menulis juga adalah salah satu cara yang Allah anugerahkan untuk menyampaikan apa yang baik sesama umat Islam. Tidak perlu malu untuk menyampaikan sesuatu jika masih di landasan yang betul dan tidak melanggar syarak yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Alhamdulillah, syukur masih diberi kekuatan lagi untuk menulis dan ingin berkongsi di blog ini yang sudah dua minggu dibiarkan sepi tanpa entri baru. Inspirasi dari laman web iluvislam, penulis tujukan warkah ini untuk adik-adik tercinta..leen dan athirah terutamanya, nad, adik-adik housemate, my dear yani, serta sahabat-sahabat karib yang disayangi dan sentiasa diingati dalam doa...

     

Assalamualaikum...
Salam kasih dan sayang buatmu adinda.

Segala puji bagi Allah atas limpahan rahmat dan kurnia-Nya dalam menyatukan hati-hati kita. Juga tiada mampu untuk kita memuji akan diri-Nya melebihi Dia atas jalinan ukhuwah yang telah lama dijalinkan dengan izin dari-Nya... Alhamdulillah.


Adik...
Sudah terlalu lama kakak tidak menitipkan bicara melalui coretan buatmu. Maafkan kakak. Sekalipun bicara coretan tidak kakak hulurkan namun kita tetap jua berhubung dan masih bertanya khabar.


Adik...
Hari ini, hati benar-benar terpanggil untuk menarikan jari jemari ini. Bersama doa agar rahmat dan lindungan Allah sentiasa bersama kita, kakak mulakan sebagai persembahan pembukaan.


Sebenarnya, sudah lama juga kakak berkira-kira untuk 'menyapa' (menegur) adik, tapi dek kerana bimbangkan ada hati yang akan terguris, kakak tangguhkan.
Maaf adik! Bukanlah niat kakak untuk melukakan, jauh sekali membuat adik berkecil hati. Tapi, sebelum apa juga perasaan yang adik rasakan, segeralah kembalikan diri kepada Allah, InsyaAllah hatimu akan berasa tenang. Anugerah ketenangan itu dari Allah, dan kita sebagai hamba diberikan pula kemampuan untuk melaksanakan... Subhanallah. Indahnya kurniaan.


Adik...
Mungkin adik sendiri telah maklum akan perubahan kakak walau tidak seberapa dan tidak sempurna mana pun lagi yang ada pada diri kakak sekarang. Seorang perempuan yang menyintai Pemiliknya... dan tiap waktu merindui akan keagungan yang diciptakan-Nya. Allahu Akbar! Bukan hanya melalui kata-kata, tapi ia atas rasa percaya dan benar-benar merasa.


Adik...
Bersama anugerah terindah yang sedang kakak daki kini, bersama persalinan baru yang kakak pakaikan pada diri, kakak rasa begitu bahagia sekali. Walaupun pada pandangan duniawi, kakak ini serba tiada, harta benda, pangkat dan darjat, tapi kakak dapat merasa nikmat berada dijalan-Nya.


Adik...
Jika suatu waktu dulu, dosa pahala tidak kita ambil kira, meniti jambatan dunia hingga terlupa di hujungnya akhirat yang tersedia, tapi hari ini, kakak berada dilandasan yang berbeza. Mungkin masih jua di jambatan yang sama, tapi memilih lorong yang tahu menilai ganjaran dan azab yang dijanjikan-Nya. Astaghfirullah.


Adik...
Hampir seluruh zaman remaja kita habiskan dengan penuh kealpaan, tidak berjaya meletakkan diri sebagai anak yang solehah. Tidak menyenangkan hati kedua mama dan papa sedang mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang dan tidak meminta untuk membalas tiap amal bakti yang diberikan. Astaghfirullah. Pasti hati kecil mereka merintih saat kedegilan itu menguasai anak-anak yang menjadi harapan dunia dan akhirat.


"Ya Allah, ampuni kami ya Allah. Sesungguhnya kami ini anak-anak yang berdosa."
Namun adik, sedarkah kita bahawa hari ini Allah masih juga memberikan nikmat untuk kita merasakan alam dewasa suatu hari nanti. Alhamdulillah, jika dipanjangkan umur diberikan juga kesempatan untuk kita bergelar isteri dan ibu. Subhanallah. Allah Maha Pemurah. Tiada yang layak dipuji melainkan Dia. Dan diberikan juga peluang untuk bersama mama dan papa yang sedang meniti penghujung usia mereka. Allah Maha Besar!


Adik...
Perkara-perkara inilah yang menjadikan kakak selalu mencari diri, mencari jalan pulang ke sisi-Nya Yang Maha Pemberi. Dan selalu merasakan tidak cukup untuk membalasnya dengan ucapan 'terima kasih' dalam tiap gerak nadi yang berdenyut.


Adik...
Bersama kekuatan dan kemampuan yang Allah berikan pada kakak saat ini, kakak benar-benar ingin memimpin adik bersama kakak untuk berada di landasan yang sama.
Dekatilah Dia, adik. Kembalilah pada-Nya. Jalan untuk menghampiri-Nya sentiasa luas terbuka. Malah Dia jua Maha Pengampun tiap dosa walau sebesar mana murka yang ada buat kita. Subhanallah. Ayuhlah adik, kembali mencari jalan pulang sebelum kita bertemu denganNya.


Adik...
Bersama warkah ini, kakak tinggalkan adik pesanan-pesanan ini, juga pesanan untuk kakak sendiri yang mungkin mampu dijadikan azimat dalam kita meniti sisa usia yang Allah masih berikan...InsyaAllah.

  •  Letakkanlah niat hatimu semata-mata kerana Allah dalam apa jua yang dirimu ingin lakukan.
  • Hiasilah dirimu dengan rasa malu yang menebal, agar dirimu bisa memperoleh cahaya yang tersembunyi disebalik kepalsuan dunia.
  •  Peliharalah solat. Perbaikilah ia. Dirikanlah diawal waktu.
  • Bersahabatlah dengan Al-Quran dan Sunnah agar dapat menjadi penyuluh jalanmu.
  •  Peliharalah jua aurat mu. Tutuplah ia dengan syariat yang telah ditetapkan. Ingatlah akan azab yang dijanjikan Allah buat hamba-hambanya.
  •  Tunaikanlah kewajipan yang telah diperintahkan Allah buat kita dan jauhi maksiat dan kemungkaran yang melalaikan.
  •  Jadilah dan pelajarilah sungguh-sungguh  menjadi seorang isteri (suatu hari nanti) yang redha, ikhlas dan sabar atas tiap ketentuan yang Allah berikan.
  •  Letakkanlah diri sebagai ibu pada masa hadapan nanti yang solehah dan menjadi murabbi kepada anak-anak.
  •  Hapuskanlah kegagalan sebagai seorang anak kepada mama dan papa , gantikanlah dengan bakti yang terbaik buat mereka ketika mereka masih ada..



Adik...
Untuk menjadi wanita solehah yang berperanan sebagai gadis perawan, isteri, ibu dan mujahidah serta terhindar daripada segala fitnah yang timbul, ia mestilah mencontohi keperibadiaan wanita-wanita Islam terdahulu, yang telah terbukti kesolehahan dan sumbangan besar mereka kepada pejuangan Islam.Kenang-kenangkanlah kemuliaan peribadi, pengorbanan dan perjuangan Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Fatimah Az-Zahra, Rabiyatul Adawiyah, Zainab al-Ghazali dan tokoh-tokoh wanita silam. 
Sesungguhnya mereka telah meninggalkan teladan dan mutiara yang tak ternilai buat kita.


Adik...
Selebihnya, pasti adik akan temuinya nanti... InsyaAllah.
Inilah jalan kita. Jalan pulang yang kita cari-cari selama ini. Kakak doakan moga adik dipermudahkan Allah dalam usaha menuju ke jalanNya.
Akhir bicara, maafkan kakak andai bicara ini membuat hati kecilmu tersentuh.

Ingatlah adik, dunia ini pinjaman semata-mata. Tiada yang akan kekal melainkan Dia. Sementara diberikan kekuatan dan kemampuan untuk kita membezakan, pilihlah jalan yang diredhaiNya.


Moga dikalungkan taufik dan hidayahNya buat kita dan sentiasa diampunkan dosa. Kita ini hanya hamba. Hamba yang selayaknya meminta pada Dia yang sentiasa bersedia memberikan laluan buat kita, kerana hanya Dia tempat kita menyembah dan memohon pertolongan. Tiada daya dan upaya kita melainkan hanya denganNya, Yang Maha Menguasai tiap perkara. Maha suci Allah!
Wassalam.

From;
Kakak.
Hamba Allah yang diciptakan untuk akhirat.



p/s: Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. pernah bersabda, maksudnya : "Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, bila engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya"; perlu kita berusaha sungguh-sungguh  untuk mencapainya dan dengan izin dariNya, kita mampu sis..we can do it~

Wednesday, May 11, 2011

~Sepucuk Surat Ku Coretkan dari Sudut Hati ini~



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Assalamualaikum





Kehadapan bakal suamiku yang aku sendiri tidak tahu siapa kamu..mungkin masih dalam kesamaran lagi di ketika ini;




Kumulakan bicara ini kepada kamu dengan menyebut nama Allah yang Agung. Maha Suci Allah yang menjadikan aku dan kamu, lelaki dan perempuan. Sebenarnya aku agak canggung untuk menulis tinta ini buat kamu. Ya, siapa pun kamu yang telah ditakdirkan Allah untukku, aku bersyukur seadanya, mengurniakan kamu padaku pada suatu masa yang telah Allah tetapkan.




Aku sedang menjaga ikhtilat dan hati ini hanya untuk kamu yang aku sendiri tidak tahu siapa. Aku sedang menjaga diri ini untuk yang sah memiliki. Aku juga berharap yang sama dari kamu. Maka, aku tidak akan seenak-enaknya memberi senyuman manis kepada lelaki-lelaki lain. Aku juga tidak mungkin menyerahkan cinta dalam hati ini yang masih tersimpan rapi untuk kamu yang aku tidak ketahui siapa.





Pertamanya, aku mohon maaf secara terbuka, andai episod semalam pernah menyaksikan kecundangnya aku dalam bab ikhtilat ini. Baru aku sedar, aku tidak pernah menjaga hati ini dengan cara yang betul. Aku bilang bercouple itu tidak salah di sisi Islam; rupa-rupanya perkara itu dibenci oleh Allah, pemilik nyawa ku ini. Aku mohon maaf untuk itu andai kesucian hati sebelum ini pernah dirobek.



kamu yang masih belum ku ketahui siapa jodohku




Aku cuma menginginkan kamu sedang dalam persediaan. Aku tidak kisah siapa pun kamu, yang penting kamu belajar. Menambahkan ilmu pengetahuan di dada, agar suatu hari nanti kamu boleh mengajar anak-anak kita dengan ilmu kamu. Aku tidak suka lelaki yang membuang masanya, berhabis masa bermain game PS3 or di komputer sekalipun, atau chit chat kosong semata, atau hobinya melepak di warung-warung kecil di tepian jalanan. Kerana aku mementingkan ilmu sebagaimana aku sedang berusaha untuk meraih ilmu kini.





Aku juga mahu kamu yang tidak ku ketahui siapa, kuat untuk berjaga malam demi merebut kasih Allah. Aku ingin, setelah pernikahan kita nanti, malam-malam kita diisi dengan tahajud cinta kepada-Nya bersama. Aku sangat menginginkan detik ini kerana aku sangat sukar melakukannya sendirian. Dan aku sangat mahu engkau yang menjadi imam pada setiap solat-solatku, itu pintaku.





Aku pasti sangat bersedih andai aku bisa dibuka hijab untuk melihat perlakuanmu kini, pemakaianmu, dan akhlakmu. Entahlah, dari dulu sehingga sekarang, aku sukar menerima lelaki yang menghisap rokok dan yang memakai seluar pendek sehingga menampakkan aurat mereka. Aku sedang menjaga auratku juga dari terlihat oleh orang yang tidak sepatutnya, yang bukan halal bagiku. Aku sangat dukacita andai kamu yang aku tidak tahu siapa mudah patah hati dalam perjuangan menegakkan syiar di jalan Allah. Aku tidak mahu kamu mudah berputus asa, kerana aku akan sentiasa mendoakan kamu yang aku sendiri tidak tahu siapa sentiasa bersemangat menjulang panji-panji agama. Semoga kamu bisa menjadi seperti Asadullah.




Maafkan aku, jika sebelum kita bertemu ini, akhlakku masih pincang, kata hati sering diikuti. Kerana itu Allah belum menemukan kita, kerana kita masih dalam perjuangan; perjuangan memburu cinta Illahi. Agar kasih kita suatu hari nanti bersandarkan kasih-Nya.


Bakal zaujku,



Aku sangat takut untuk mengharungi dunia ini seorang diri. Aku takut melihat jatuhnya akhlak remaja kini, aku takut andai aku terjerumus dalam semua itu. Aku juga khuatir melihat dunia kini semakin usang untuk didiami kerana tandusnya akhlak muda-mudi. Dunia kita kini jauh beza, dunia kita tidak sama dengan dunia Islam dahulu. Tiada lagi pemuda seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang menakluk Kota Konstantinopel pada usianya 22/23 tahun. Kiranya, aku pernah minta kepada Allah, agar Dia mengirimkan engkau secepatnya kepadaku agar aku dapat berlindung kepadamu, tetapi aku tahu kamu masih dalam proses membina diri dan membina kerjaya, maka aku tidak mahu mengganggu fokusmu.



Yang paling penting, semoga engkau dapat menghormati kedua orang tuaku dan anggap mereka sebagai orang tuamu juga. Kasihilah mereka dan aku minta agar aku dapat berbakti untuk mereka walaupun tanggungjawabku akan beralih padamu suatu ketika nanti.


Aku tidak tahu; sama ada bakal zaujku yakni kamu ini apakah aku kenal atau pun tidak. Siapa pun kamu aku terima seadanya, cuma aku mohon semoga kamu punya iman dan agama untuk membimbingku suatu hari nanti apabila tiba masanya saat kita dipertemukan Allah. Maafkan segala keterlanjuranku sepanjang hayatku sebelum kita dipertemukan; iaitu saat ini. 




Akhir kata, semoga Allah melindungi kamu dan aku walau di mana pun kita berada. Semoga Allah lah yang akan menjadi urusan utama kita pada setiap ketika, semoga syiarnya kita bisa perjuangkan walau di mana jua kita berada. Aku berharap agar imanmu sentiasa sihat. InsyaAllah, aku akan cuba sedaya upaya untuk menjaga diriku sebaik mungkin. Hidupku cuma ada Allah, dan itu keyakinanku. Semoga kita dipertemukan oleh Allah pada masa yang telah Dia tetapkan untuk kita.



Aku tidak meminta kesempurnaan dari kamu, aku cuma meminta persediaan dari kamu untuk bersedia membimbing dan dibimbing, mentarbiyah dan ditarbiyah serta mendidik dan terdidik.

yang benar;
AA @ CS
...............


Bersaksi cinta diatas cinta
Dalam alunan tasbih ku ini
Menerka hati yang tersembunyi
Berteman dimalam sunyi penuh Doa

Sebut nama Mu terukir merdu
Tertulis dalam sajadah cinta
Tetapkan pilihan sebagai teman
Kekal abadi hingga akhir zaman

Istikharah cinta memanggilku
Memohon petunjuk-Mu
satu nama teman setia
Naluriku berkata

Dipenantian luahan rasa
Teguh satu pilihan
Pemenuh separuh nafasku
Dalam mahabbah rindu

di istikharah cinta..


p/s: Cinta dan kasih antara Allah kepada hamba-Nya, tidak sama tanding antara cinta dua hamba-Nya ♥ Sungguh Dia Maha Kaya Cinta ♥
*Thanks a lot to Fawa, kakak-kakak naqibah & usrah members :)